Keperluan Penjual
Jika anda menawarkan akses kepada skrip jemputan sahaja (invite-only) awam atau peribadi atau kandungan mahupun perkhidmatan eksklusif berkaitan skrip yang lain, kami menganggap anda sebagai seorang penjual (vendor) dan berharap anda untuk memenuhi keperluan pada halaman ini, sebagai tambahan kepada Peraturan Am Komuniti yang terpakai kepada semua orang di TradingView dan Peraturan Penerbitan Skrip yang terpakai kepada semua pengarang skrip.
Anda ialah seorang penjual dan mesti mematuhi Keperluan Penjual kami jika mana-mana perkara berikut terpakai:
- Anda secara bebas menawarkan akses kepada skrip jemputan sahaja
- Anda menyertai Program Pencipta kami untuk pengarang skrip (Ruangan Berbayar)
- Anda ialah pekerja bebas yang menyediakan perkhidmatan pengkodan berbayar
- Anda menawarkan perkhidmatan berkaitan skrip yang lain kepada pengguna
TradingView berdedikasi untuk membantu komuniti seluruh dunia kami berkongsi minat dalam kewangan dan dagangan. Kami percaya bahawa penjual skrip yang bertanggungjawab dan dipercayai boleh menambah nilai kepada platform kami dengan menyediakan alatan dan perkhidmatan berkualiti kepada pedagang yang memilih untuk bergantung pada profesional yang lebih berpengalaman. Oleh itu, kami mengalu-alukan penjual yang memegang piawaian perniagaan beretika, menyediakan kandungan atau perkhidmatan yang bermakna dan membantu, bertujuan untuk membina alatan dagangan yang unik dan berguna untuk komuniti kami serta menghormati semua Peraturan Komuniti. Ini merupakan prinsip utama yang mendasari Keperluan Penjual kami.
Jika anda boleh memenuhi keperluan ini, kami mengalu-alukan anda untuk menawarkan skrip dan perkhidmatan anda kepada komuniti kami.
KANDUNGAN:
- Keperluan amalan perniagaan
- Keperluan kandungan am
- Penerbitan peribadi
- Skrip jemputan sahaja dan Ruangan Berbayar awam
- Tandatangan
- Kandungan "Cara Penggunaan"
- Penjual dan pemoderatan skrip
Keperluan amalan perniagaan
Kami berharap anda mengekalkan amalan perniagaan yang profesional dan beretika apabila menawarkan akses kepada skrip jemputan sahaja atau jenis kandungan atau perkhidmatan yang lain. Jangan gunakan amalan salah atau mengelirukan dalam apa jua bentuk sekalipun dalam interaksi atau kandungan anda, sama ada di TradingView atau di tempat lain. Menyertai aktiviti salah yang bertujuan untuk menipu, memperdaya, mengelirukan atau sebaliknya membahayakan komuniti kami dan meletakkan anda pada laluan pantas ke arah sekatan kekal daripada semua ciri sosial di TradingView, termasuk mengurus akses kepada skrip jemputan sahaja anda atau mengendalikan Ruangan Berbayar.
Keperluan kandungan am
Kami berharap penjual membina reputasi mereka dengan menyediakan kandungan yang berguna, bukannya menyalahgunakan ciri penerbitan atau melakukan spam dalam komuniti kami untuk mempromosikan perniagaan mereka. Mana-mana kandungan yang anda terbitkan sebagai penjual, sama ada dalam bentuk skrip, idea, video, ulasan, sembang, kemas kini atau kandungan lain, hendaklah bertujuan untuk memberikan nilai yang jelas kepada pedagang.
► Terbitkan kandungan yang bermakna.
Kandungan anda secara keseluruhannya sepatutnya menyediakan maklumat boleh bertindak, alatan membantu atau analisis yang sah untuk pedagang. Jangan terbitkan kandungan berbentuk acah (teaser), tawaran masa terhad atau kandungan yang tidak lebih daripada percubaan terselindung untuk memaparkan barangan anda atau meraih perhatian. Jika anda mahu menerbitkan kandungan yang menunjukkan skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar anda di luar penerbitan skrip utama anda, anda boleh mencipta idea atau video "Cara Penggunaan" untuk tujuan tersebut. Lihat bahagian mengenai kandungan "Cara Penggunaan" di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.
► Jangan menyalahgunakan kandungan untuk memasarkan barangan anda.
Jangan melakukan spam atau memancing melalui sembang, ulasan, penerbitan atau kandungan lain untuk menarik trafik ke produk atau perkhidmatan anda. Begitu juga, jangan melakukan spam dalam komuniti kami dengan memberikan akses skrip jemputan sahaja kepada pengguna yang tidak memintanya secara nyata. Spam dan memancing kedua-duanya ialah pelanggaran serius Peraturan Komuniti kami yang boleh mengakibatkan sekatan yang panjang atau kekal.
► Bersikap realistik.
Pastikan bahasa anda realistik dalam interaksi anda dengan pengguna. Jangan gunakan bahasa yang mengelirukan dalam apa jua bentuk sekalipun, sama ada disengajakan atau tidak, terutamanya apabila membincangkan tingkah laku atau prestasi skrip mahupun metodologi dagangan anda. Mana-mana skrip atau pendekatan dagangan mempunyai batasan, ujian ke belakang (backtest) boleh mempunyai kecenderungan, dan masa hadapan sememangnya tidak pasti. Sedari hakikat ini dan elakkan memberi maklumat salah atau mengelirukan rakan pedagang anda dalam kandungan anda. Mengikut keperluan amalan perniagaan kami, secara sengaja mengelirukan pedagang meletakkan anda pada laluan pantas ke arah sekatan kekal.
Penerbitan peribadi
Seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Penerbitan Skrip kami, skrip peribadi adalah untuk kegunaan peribadi sahaja. Skrip yang diterbitkan secara peribadi adalah bukan untuk berkongsi kandungan anda dengan komuniti. Oleh itu, moderator skrip kami tidak menganalisis skrip peribadi anda selagi anda menyimpannya secara peribadi. Jika anda berkongsi skrip peribadi secara awam dalam apa jua cara sekalipun, seperti merujuk kepadanya dalam kandungan TradingView yang lain atau mengiklankannya di laman web anda, ia dianggap sebagai awam dan tertakluk kepada pemoderatan.
Sebagai seorang penjual, pastikan anda memahami dan mematuhi peraturan tambahan ini apabila anda menerbitkan skrip secara peribadi.
► Jangan menjual akses kepada skrip peribadi.
Penerbitan peribadi bukanlah alat untuk menjual akses kepada skrip. Ia adalah eksklusif untuk kegunaan peribadi dan tidak disemak oleh moderator kami. Jika anda mahu menjual akses kepada sesuatu skrip, cipta penerbitan jemputan sahaja secara awam untuk tujuan tersebut. Jika anda cuba mengelak daripada pemoderatan dan menjual akses kepada skrip peribadi dalam apa jua bentuk sekalipun, anda menghadapi risiko sekatan kekal.
► Hormati had akses skrip peribadi.
Maksimum lima pengguna boleh mengakses skrip jemputan sahaja yang anda terbitkan secara peribadi, kerana skrip sedemikian bukan untuk kegunaan komuniti. Jangan cuba pintas had akses ini dengan mencipta pelbagai versi penerbitan peribadi anda. Jika anda mahu lebih daripada lima pengguna mengakses skrip jemputan sahaja anda, terbitkannya secara awam.
► Gunakan kandungan peribadi secara bertanggungjawab.
Penerbitan peribadi tidak dikecualikan daripada keperluan amalan perniagaan kami. Akaun anda boleh disekat secara pantas dan kekal jika anda secara sengaja menggunakan penerbitan peribadi untuk berkongsi kandungan yang membahayakan, mengelirukan atau tidak mematuhi peraturan lain dengan pelanggan anda.
Skrip jemputan sahaja dan Ruangan Berbayar awam
Skrip yang diterbitkan dengan tetapan "Jemputan sahaja" (Invite-only) mempunyai kod sumber tertutup dan hanya pengguna yang anda berikan akses boleh menambahkannya pada carta mereka dan menggunakan ciri-cirinya. Anda boleh menerbitkan skrip jemputan sahaja dan mengurus aksesnya hanya jika anda mempunyai akaun Premium atau Ultimate. Jenis akaun lain hanya boleh menerbitkan skrip sumber terbuka dan dilindungi.
Skrip Ruangan Berbayar ialah skrip jemputan sahaja khas yang boleh anda tawarkan sebagai langganan jika anda merupakan sebahagian daripada Program Pencipta kami. Apabila pengguna melanggan Ruangan Berbayar anda, mereka menerima akses secara automatik kepada semua skrip yang anda sertakan dalam ruangan tersebut. Sebaliknya, untuk penerbitan jemputan sahaja biasa, anda memberikan akses secara manual kepada pengguna yang memintanya dengan menggunakan kotak dialog "Urus akses".
Skrip jemputan sahaja awam dan skrip Ruangan Berbayar adalah satu-satunya jenis skrip diterbitkan yang membolehkan anda meminta bayaran sebagai pertukaran untuk akses. Seperti yang dinyatakan dalam Peraturan Penerbitan Skrip kami, skrip sumber terbuka dan dilindungi adalah sentiasa percuma. Anda tidak boleh menyekat akses kepadanya atau mengharapkan bayaran. Tambahan pula, seperti yang dinyatakan di atas dalam keperluan kami untuk kandungan peribadi, menjual akses kepada skrip peribadi adalah tidak dibenarkan.
Apabila anda menerbitkan skrip dengan akses terhad, anda mesti memenuhi keperluan berikut, sebagai tambahan kepada keperluan dalam Peraturan Penerbitan Skrip kami. Kegagalan untuk memenuhi kebanyakan keperluan ini akan menyebabkan penerbitan anda disembunyikan daripada komuniti kami. Bergantung pada tahap keseriusan pelanggaran, anda juga mungkin disekat daripada ciri sosial kami.
► Berikan akses skrip hanya kepada pengguna yang memintanya.
Gunakan menu "Urus akses" pada penerbitan jemputan sahaja anda untuk memberikan akses skrip hanya kepada pengguna yang memintanya secara nyata. Jangan menyalahgunakan ciri ini dengan memasukkan pengguna yang tidak meminta akses ke dalam senarai putih (whitelist). Selain itu, jika pengguna meminta anda mengalih keluar mereka daripada senarai akses skrip anda, hormati permintaan mereka dan alih keluar mereka secara serta-merta.
► Jangan mempromosikan perniagaan anda dalam penerbitan skrip anda.
Jangan gunakan penerangan skrip, nota keluaran, carta atau kandungan lain untuk mempromosikan syarikat, jenama, kumpulan, produk, keputusan atau butiran lain sedemikian. Begitu juga, jangan gunakan kandungan ini untuk meminta pedagang mengikuti anda, melawat profil anda, atau melonjakkan (boost) dan mengulas penerbitan anda. Anda boleh menyebut nama syarikat atau jenama anda dalam tajuk atau penerangan anda jika mahu, tetapi lakukan secara berpada-pada; satu atau dua sebutan di seluruh penerbitan sudah memadai. Jika anda mahu berkongsi lebih banyak butiran berkaitan perniagaan anda, sertakan maklumat tersebut dalam medan "Tandatangan" pada profil anda, bukannya dalam penerbitan anda.
► Jangan mengiklankan barangan anda dalam kandungan lain.
Kandungan awam di TradingView bukannya bertujuan untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan anda. Jangan gunakan penerbitan skrip lain, idea, video, sembang, ulasan, tag atau kandungan awam yang lain untuk menarik perhatian kepada skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar. Satu-satunya pengecualian kepada peraturan ini ialah:
- Skrip berbayar yang tergolong dalam pakej yang sama. Jika anda menerbitkan skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar dan menyebut atau menunjukkan skrip lain daripada pakej yang sama dalam penerbitan anda, jelaskan dalam penerangan bahawa anda menawarkan skrip tersebut bersama-sama tanpa memerlukan pembelian atau langganan berasingan. Ambil perhatian bahawa merujuk skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar dalam penerbitan skrip sumber terbuka atau dilindungi adalah tidak dibenarkan.
- Idea dan video "Cara Penggunaan", yang bertujuan untuk menyediakan butiran tambahan mengenai kefungsian skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar anda dan cara menggunakannya. Lihat bahagian mengenai kandungan "Cara Penggunaan" di bawah untuk mengetahui lebih lanjut.
► Jangan membincangkan harga dalam kandungan utama anda.
Penerangan penerbitan, nota keluaran, carta dan ulasan anda bukannya tempat untuk membincangkan atau mengiklankan harga skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar anda mahupun perkhidmatan lain. Anda boleh menyebut harga dalam medan "Arahan penulis" pada skrip jemputan sahaja atau dalam medan "Tandatangan" pada profil anda. Mengiklankan harga di lokasi lain adalah tidak dibenarkan.
► Jangan menerbitkan skrip yang mengelirukan.
Bersikap realistik dan jujur dalam penerbitan skrip anda, berbayar atau tidak. Pelanggan anda percaya kepada anda untuk berkongsi alatan berguna yang memberi manfaat kepada analisis mereka. Jangan hakis kepercayaan tersebut dengan mencipta penerbitan yang mengandungi penjelasan, visual atau tingkah laku yang mengelirukan:
- Elakkan sebarang dakwaan atau jaminan yang tidak realistik atau tidak berasas mengenai prestasi skrip anda, sama ada di TradingView atau di tempat lain.
- Jangan salah nyatakan tingkah laku atau batasan skrip anda dalam penerangan, ulasan, sembang atau kandungan luaran.
- Jangan gunakan visual tambahan pada carta atau tangkapan skrin anda untuk salah nyatakan kefungsian skrip anda.
- Jangan menyalahgunakan carta bukan standard untuk membuat keputusan sejarah skrip anda kelihatan lebih baik daripada keadaan sebenar pada data pasaran dunia sebenar.
- Jangan menyalahgunakan fungsi `request.*()` atau ciri lain untuk membocorkan data masa hadapan ke dalam bar lalu.
- Jika anda menerbitkan skrip strategi, pastikan tingkah laku dan keputusan skrip tersebut adalah realistik secara munasabah. Selain itu, pastikan penerangan menjelaskan sifat, masukan dan tetapan carta yang anda gunakan untuk menjana laporan strategi yang diterbitkan.
► Sertakan arahan akses yang jelas.
Ruangan Arahan pengarang pada skrip jemputan sahaja anda ialah tempat di mana anda menulis arahan untuk pengguna yang mahu meminta akses. Arahan tersebut muncul di bawah carta atau laporan strategi yang diterbitkan pada halaman skrip. Kami berharap anda menggunakan ruangan ini dan bukannya kandungan penerbitan lain, untuk menyediakan arahan akses skrip yang jelas:
- Arahkan pengguna untuk menghubungi anda secara peribadi atau sertakan pautan ke laman web anda di mana pengguna boleh meminta akses. Jangan arahkan pengguna untuk mengulas pada skrip anda bagi meminta akses.
- Jika anda mahu menyediakan arahan akses dalam pelbagai bahasa, senaraikan arahan bahasa Inggeris di atas terjemahan lain.
- Jangan tampal penerangan skrip atau teks penambah lain dalam medan ini.
- Anda boleh menyebut harga skrip anda dalam medan ini dengan syarat anda juga menyertakan arahan yang jelas untuk meminta akses.
- Anda boleh menyertakan pautan ke kandungan pelengkap yang khusus untuk skrip anda. Jangan menyalahgunakan peruntukan ini dengan berkongsi kandungan yang tidak berkaitan, mengelirukan atau membahayakan.
- Jangan merujuk medan "Arahan pengarang" anda atau menyenaraikan arahan akses dalam penerangan anda atau bahagian lain dalam penerbitan anda.
► Berusaha untuk keaslian dan nilai kepada pedagang.
Skrip jemputan sahaja dan Ruangan Berbayar adalah untuk berkongsi ciptaan Pine eksklusif anda dengan pelanggan anda, bukannya untuk mengitar semula atau menggabungkan alatan yang tersedia secara percuma di tempat lain. Skrip anda sepatutnya memberikan nilai yang jelas kepada pedagang dan kefungsian asli yang berguna. Begitu juga, penerangan anda sepatutnya menjelaskan secara jelas dan jujur ciri dan tingkah laku tersendiri skrip untuk membantu pengguna memahami sebab anda mengehadkan akses kepada pelanggan sahaja. Menyatakan sekadar skrip anda berhak cipta tanpa menjelaskan kualiti tersendiri tidak membina kepercayaan terhadap produk anda atau membantu pengguna memahami nilainya.
► Jangan menerbitkan versi skrip sebagai set (suite).
Menerbitkan berbilang variasi skrip jemputan sahaja anda secara berasingan untuk kegunaan pada pasaran atau kerangka masa tertentu adalah tidak dibenarkan. Jika anda mahu menyediakan pratetapan yang dioptimumkan untuk pasaran dan kerangka masa tertentu, sediakan pratetapan tersebut dalam satu versi yang diterbitkan. Jika skrip anda mesti digunakan dengan pasaran atau kerangka masa tertentu sahaja disebabkan oleh batasan teknikal, wajarkan sebab-sebabnya secara jelas dalam penerangan anda.
► Hormati peraturan penggunaan semula kod dan plagiarisme kami.
Skrip sumber terbuka wujud di TradingView untuk memberi manfaat kepada komuniti kami, bukannya penjual berbahaya yang bertujuan untuk menyalin dan menjual semula kod dalam penerbitan sumber tertutup. Sejajar dengan itu, akibat daripada melanggar Peraturan Komuniti kami mengenai penggunaan semula dan plagiarisme sumber terbuka adalah lebih berat untuk skrip jemputan sahaja dan Ruangan Berbayar. Untuk mengelakkan isu dan mengguna semula kod dalam skrip berbayar anda dengan betul:
- Minta kebenaran nyata daripada pengarang asal untuk mengguna semula kod mereka dalam skrip berbayar. Jika anda tidak boleh memperoleh kebenaran untuk mengguna semula kod mereka dalam projek penjual anda, jangan guna semulanya.
- Jika anda mengguna semula kod dengan kebenaran nyata, berikan penghargaan kepada pengarang asal dan jelaskan dalam penerangan anda bahawa anda mempunyai kebenaran untuk mengguna semula kod mereka.
- Pastikan anda boleh membuktikan bahawa anda mempunyai kebenaran untuk mengguna semula kod dalam skrip anda jika moderator kami meminta bukti.
- Jika kod yang diguna semula dianggap sebagai domain awam, kebenaran tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, ia masih menjadi amalan terbaik untuk mengiktiraf sumber tersebut dalam penerangan anda. Lihat Peraturan Penerbitan Skrip kami mengenai penggunaan semula kod untuk mempelajari pengecualian domain awam.
Tandatangan
Pelan Premium dan Ultimate merangkumi medan profil Tandatangan khas. Tandatangan yang anda nyatakan dalam medan ini muncul di bawah pautan ke profil anda pada penerbitan skrip dan idea anda.
Tidak seperti kandungan awam lain di TradingView, tandatangan anda boleh mengandungi pautan ke media sosial dan laman web lain, butiran hubungan, pengumuman dan maklumat lain yang tidak boleh anda sertakan di tempat lain. Apabila anda menambah tandatangan pada profil anda, anda mesti menghormati keperluan berikut:
► Jangan berkongsi kandungan membahayakan dalam tandatangan anda.
Tandatangan anda bukannya tempat untuk memintas peraturan kami dengan berkongsi kandungan yang tidak sesuai, mengelirukan atau membahayakan pengguna dalam komuniti kami. Pegang piawaian perniagaan yang profesional di mana-mana jua, termasuk dalam tandatangan anda.
► Jangan merujuk tandatangan anda dalam kandungan awam yang lain.
Disebabkan tandatangan anda boleh merangkumi maklumat yang tidak dibenarkan di tempat lain, anda tidak dibenarkan merujuk kepadanya dalam penerangan penerbitan, nota keluaran, ulasan atau mana-mana kandungan awam yang lain.
Kandungan "Cara Penggunaan"
Anda boleh mencipta idea dan video pelengkap "Cara Penggunaan" untuk menunjukkan kefungsian skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar anda dan cara menggunakannya. Ini ialah satu-satunya penerbitan bukan skrip di mana anda boleh membincangkan dan meletakkan pautan ke skrip jemputan sahaja dan Ruangan Berbayar anda.
Peraturan berikut mengawal penggunaan penerbitan "Cara Penggunaan":
- Anda boleh menerbitkan sehingga 10 penerbitan "Cara Penggunaan" setahun untuk setiap skrip anda. Rancang kemas kini anda dengan teliti untuk mengelakkan daripada melebihi had ini.
- Tajuk penerbitan "Cara Penggunaan" mesti bermula dengan "HOW-TO:" dalam semua huruf besar.
- Hanya idea dan video awam dibenarkan sebagai penerbitan "Cara Penggunaan". Jangan gunakan skrip atau penerbitan peribadi dalam apa jua bentuk sekalipun untuk tujuan ini.
- Sediakan maklumat yang jelas dan boleh bertindak untuk pedagang dalam semua penerbitan "Cara Penggunaan" anda. Jangan gunakan penerbitan ini untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan anda secara terang-terangan atau berkongsi kandungan spam yang tidak bermakna. Begitu juga, jangan gunakannya untuk meminta pengguna melonjakkan dan mengulas penerbitan anda, atau mengikuti mahupun mesej anda.
- Anda boleh menyertakan analisis posfakta (post-factum) bagi isyarat dagangan dan tingkah laku skrip anda dalam idea "Cara Penggunaan", tidak seperti penerbitan lain. Walau bagaimanapun, pastikan bahasa dan persembahan anda realistik. Buktikan sebarang kenyataan yang anda buat mengenai prestasi dan tingkah laku skrip anda. Jangan bayangkan bahawa keputusan masa lalu skrip anda menunjukkan masa hadapan atau membuat sebarang kenyataan lain yang mengelirukan pedagang. Begitu juga, jangan menyalahgunakan carta anda untuk salah nyatakan kefungsian atau prestasi skrip anda.
- Jangan alihkan tugas menjelaskan semua maklumat utama mengenai skrip jemputan sahaja atau Ruangan Berbayar anda kepada penerbitan "Cara Penggunaan". Penerangan dalam penerbitan skrip anda masih mesti menjelaskan fungsi skrip anda, cara ia berfungsi, cara menggunakannya dan sebab ia asli, serta mana-mana butiran utama mengenai batasan dan kekurangannya. Maklumat dalam penerbitan "Cara Penggunaan" anda sepatutnya melengkapi penerangan utama skrip anda, bukannya menggantikannya.
Penjual dan pemoderatan skrip
Jika anda gagal memenuhi Keperluan Penjual kami atau mematuhi Peraturan Am Komuniti dan Peraturan Penerbitan Skrip kami, anda akan mendapati sukar untuk berkongsi kandungan anda dengan komuniti kami, kerana moderator kami tidak akan meluluskan kandungan tersebut untuk suapan komuniti kami. Jika pelanggaran anda adalah serius atau tidak boleh diterima, kandungan anda juga akan disembunyikan sepenuhnya, dan anda mungkin disekat daripada ciri sosial kami.
Semasa sekatan, anda tidak boleh memberikan pengguna akses kepada skrip anda, mesej pengguna dalam sembang, mengulas pada penerbitan, atau menggunakan mana-mana ciri sosial yang lain. Hanya ciri bukan sosial dalam pelan anda kekal tersedia untuk anda semasa anda disekat.
Jika akaun atau kandungan anda dimoderasi, anda mungkin menerima pemberitahuan daripada moderator kami yang menggariskan isu yang dikesan. Baca sebarang maklumat yang anda terima daripada moderator kami secara teliti; jangan abaikan maklumat tersebut. Berusahalah untuk belajar daripada isu tersebut dan mengelakkannya dalam tindakan serta kandungan anda pada masa hadapan. Jika anda tidak menerima pemberitahuan mengenai penerbitan yang dimoderasi atau mempunyai soalan mengenai peristiwa pemoderatan, hantar mesej terus kepada akaun moderator PineCoders. Moderator skrip kami sedia membantu anda.
Pastikan anda menghormati moderator kami dan mengendalikan diri anda secara profesional dalam semua aktiviti penjual anda. Jangan membantah peraturan atau pemoderatan kami secara awam mahupun peribadi dalam percubaan untuk mengharuskan pelanggaran anda. Begitu juga, jangan abaikan atau cuba mengelak daripada keperluan kami dalam kandungan anda. Kami menghargai kreativiti penjual dalam reka bentuk produk dan perkhidmatan, tetapi menggunakan kreativiti yang sama untuk memintas peraturan kami akan menyebabkan anda menghadapi lebih banyak masalah berbanding sebarang keuntungan yang anda harapkan melalui tindakan sedemikian.
Sebagai seorang penjual, anda sepatutnya memandang serius pelanggaran peraturan kami, terutamanya kerana anda mengharapkan pengguna mempercayai dan dalam kebanyakan kes, membayar untuk produk dan perkhidmatan anda. Kami bertolak ansur terhadap bilangan peristiwa berulang yang terhad sahaja. Bagi setiap pelanggaran berturut-turut, tempoh sekatan anda biasanya akan meningkat secara ketara. Sebaik sahaja anda mengumpul pelanggaran serius yang mencukupi, akaun anda akan disekat secara kekal, bermakna anda akan kehilangan semua keupayaan untuk terlibat dalam aktiviti penjual di TradingView secara kekal. Pelanggaran yang kami anggap sangat serius juga boleh mengakibatkan sekatan kekal secara serta-merta.
Kami mengakui bahawa keperluan dan harapan kami untuk penjual sememangnya lebih ketat berbanding pengarang lain. Walau bagaimanapun, kami percaya keperluan ini adalah munasabah dan sangat berbaloi dengan keupayaan untuk menyediakan skrip dan perkhidmatan anda kepada jutaan pelanggan berpotensi di TradingView. Mana-mana penjual serius yang bertujuan untuk membawa nilai dan faedah tulen kepada komuniti kami tidak sepatutnya menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan ini. Jika ini menjadi masalah bagi anda, maka anda sepatutnya mengelak daripada menjual barangan anda di TradingView.
Jika anda boleh menghormati keperluan ini dan mengendalikan perniagaan anda secara bertanggungjawab, maka selamat datang ke komuniti TradingView!
Baca juga: